'Saya terkesima tengok replika gua tu, jadi saya goncang sampai director jerit 'Cut!',' - Faizal Hussein kongsi momen lucu ketika kali pertama berjumpa Tan Sri P Ramlee di set shooting | The Reporter

‘Saya terkesima tengok replika gua tu, jadi saya goncang sampai director jerit ‘Cut!’,’ – Faizal Hussein kongsi momen lucu ketika kali pertama berjumpa Tan Sri P Ramlee di set shooting

Filem-filem yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee diakui sangat melekat di hati penonton sehingga kini. Pengalaman berdepan dengan seniman negara ketika masih kecil tidak dilupakan oleh pelakon senior, Faizal Hussein.

Faizal Hussein berkongsi kisah lucunya ketika pertama kali bertemu seniman agong, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Jelas pelakon yang membintangi filem KL Menjerit itu, ketika itu dia berusia dalam lingkungan empat tahun, bapanya yang juga pelakon, Allahyarham Hussein Abu Hassan, membawanya ke lokasi penggambaran filem komedi popular arahan P. Ramlee berjudul Laksmana Do Re Mi.

Ketika sesi penggambaran berlangsung, dia membuat satu kesilapan sehingga menyebabkan sesi penggambaran tersebut terpaksa dihentikan seketika.

“Sewaktu melakonkan filem Laksmana Do Re Mi, arwah bapa saya membawa watak sebagai Menteri Fasola. Dalam filem itu, ada satu babak yang memaparkan aksi pertempuran di antara mereka di dalam sebuah gua.

“Jadi waktu keduanya sedang melakonkan babak tersebut, saya sebenarnya berada di belakang gua,” katanya.

Teruja lihat replika gua

Oleh kerana terlalu teruja melihat replika gua, dia cuba menggoyangkan gua tersebut tanpa mengetahui replika tersebut dihasilkan dengan menggunakan cardboard.

“Pada waktu itu, saya sangat terkesima dan kagum dengan cara mereka menyediakan set gua berkenaan.

“Tapi saya tak tahu mereka rupanya menggunakan ‘cardboard’ untuk bentukkan gua berkenaan dan kemudiannya dicat. Pada bahagian belakang, mereka hanya meletakkan rangka-rangka kayu sahaja.

“Disebabkan terlalu teruja, saya pun goyangkan gua tu dan pada ketika itu, P. Ramlee dan ayah saya tengah berlawan,” katanya.

Director jerit ‘Cut!’

Gara-gara tindakannya itu, penggambaran terpaksa dihentikan.

“Jadi mereka terpaksa hentikan shoot dan director pun jerit ‘Cut!! Kenapa gua bergoyang,” katanya.

Faizal turut mendedahkan, sebaik sahaja sesi penggambaran filem tersebut berakhir, bapanya telah membawa dia untuk berjumpa dengan P. Ramlee.

“Lepas diorang periksa, mereka nampak saya dekat belakang gua. Muka saya pun blur sebab tak tahu apa yang terjadi.

“Lalu sejurus kemudian, bapa saya bawa berjumpa dengan P. Ramlee. Kami bersalaman kemudian dia tegur saya fasal goyang gua tadi dan dia peluk saya. Masa tu tiada kamera, jadi tak boleh la nak ambil gambar,” katanya lagi.

Filem Laksmana Do Re Mi yang diterbitkan pada tahun 1972 merupakan sebuah filem arahan dan lakonan terakhir P.Ramlee sebelum beliau memghembuskan nafas terakhir setahun kemudian.

Sumber: Media Hiburan, faizalhussein72

Related Posts