Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh merayu kepada Perdana Menteri agar tidak tunduk kepada mana-mana desakan yang mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Menurutnya, pengiktirafan itu tidak wajar diberikan kerana UEC tidak mematuhi dasar pendidikan negara yang telah digariskan sejak sekian lama.
Beliau menegaskan bahawa selagi UEC tidak memenuhi kerangka dasar tersebut, selagi itulah ia tidak boleh dianggap setaraf dengan peperiksaan kebangsaan seperti SPM atau STPM. Katanya, kerajaan tidak boleh berkompromi dalam hal yang melibatkan dasar pendidikan kerana ia merupakan asas kepada perpaduan nasional dan struktur utama sistem pendidikan negara.
Dalam pada itu, Akmal turut menegur Tindakan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang dilaporkan mahu bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan pengiktirafan UEC. Menurut Akmal, seorang menteri sepatutnya lebih arif mengenai dasar pendidikan negara sebelum membuat kenyataan atau cadangan kepada kerajaan.
Dasar Pendidikan Negara menekankan Bahasa Melayu sebagai bahasa penganta utama
Beliau menegaskan bahawa dasar pendidikan negara menekankan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, penggunaan Kurikulum Kebangsaan sebagai rujukan asas, serta kewajipan semua pelajar untuk menduduki peperiksaan yang sama di bawah sistem standard nasional.
Bagaimanapun, ujarnya, UEC tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, tidak berasaskan Kurikulum Kebangsaan kerana banyak menggunakan rujukan dari Taiwan, serta tidak mengikuti peperiksaan standard seperti SPM atau STPM. Disebabkan itu, beliau berpendapat pengiktirafan UEC bercanggah dengan keseluruhan dasar pendidikan negara.
Kelonggaran UEC
Akmal juga membidas dakwaan bahawa kerajaan tidak berlaku adil terhadap pendidikan Cina. Jelas beliau, kerajaan sebenarnya telah memberikan pelbagai kelonggaran kepada UEC sejak berpuluh tahun lalu walaupun ia tidak diiktiraf. Antaranya termasuk kebenaran untuk UEC beroperasi di Malaysia sejak 1975 ketika Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Pendidikan, kemudahan bagi lepasan UEC memasuki institusi pengajian tinggi swasta pada tahun 2004, kebenaran mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Cina di IPG pada tahun 2010, serta pengiktirafan tertentu melalui peperiksaan PSAG pada tahun 2019.
“Ada yang berhujah mengenai keadilan terhadap pendidikan Cina dalam isu ini, namun saya ingin menyatakan bahawa kerajaan Malaysia telah memberi banyak kelonggaran kepada UEC sejak dahulu lagi walaupun ia tidak diiktiraf,” katanya.
Baca juga:
- ‘Bukan sebab dengki’ – MP Kota Melaka jawab kenyataan Bos Mydin
- DBKL turunkan caj tapak bazar Ramadan 2026 kepada RM400
- Ambil kira keresahan masyarakat setempat, batalkan projek ternakan babi Bukit Tagar – PM
Sistem vernakular
Menurutnya, semua bentuk kelonggaran ini sudah lebih daripada mencukupi dan tidak boleh dijadikan alasan untuk mendesak pengiktirafan penuh.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang secara rasmi membenarkan sistem pendidikan vernakular wujud dalam sistem nasional. Namun, kata Akmal, negara lain seperti Singapura tidak mengiktiraf sebarang sistem pendidikan yang tidak selari dengan sistem kebangsaan mereka. Maka bagi beliau, adalah tidak wajar apabila seorang menteri dalam kerajaan sendiri mencadangkan agar sistem pendidikan yang tidak memenuhi asas pendidikan negara diberikan pengiktirafan rasmi.
“Pergi ke Singapura. Adakah mereka iktiraf sistem lain selain sistem kebangsaan mereka? Jawapannya tidak,” tegasnya.
Rayuan kepada Perdana Menteri
Dalam kenyataannya, Akmal sekali lagi merayu agar Perdana Menteri mengekalkan pendirian tegas dan tidak memberi ruang kepada tuntutan pengiktirafan UEC. Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai sebarang keperluan untuk mengiktiraf UEC selagi sistem itu tidak mematuhi dasar pendidikan negara, dan menambah bahawa kerajaan mesti konsisten demi masa depan dan kestabilan sistem pendidikan negara.
“Selagi mana UEC ni tidak menepati dasar pendidikan negara, selagi itulah, kita tidak boleh itiraf UEC, apatah lagi nak mengitiraf sama dengan SPM ataupun STPM. Saya minta, tiada keperluan untuk kita itiraf UEC dan kita tidak akan berkompromi untuk kerajaan untuk mengitiraf UEC,” katanya.








