Penyanyi dan anggota kumpulan nasyid UNIC, Dr Fitri Haris, mendedahkan pengalaman peribadinya berdepan gangguan berunsur lucah daripada beberapa individu berpangkat dan berpengaruh termasuk seorang ustaz dan seorang Datuk.
Perkongsian itu dibuat susulan laporan tangkapan melibatkan golongan profesional dan berjawatan dalam serbuan aktiviti tidak bermoral baru-baru ini Menurutnya kejadian tersebut tidak lagi mengejutkan selepas apa yang pernah dilaluinya sendiri.
“Saya pernah kena ‘ngorat’ oleh ustaz dan Datuk,” katanya.
Menurut Fitri, insiden pertama membabitkan seorang ustaz sebenar, bukan selebriti media sosial.
“Dia tiba-tiba tanya saya, ‘Fitri open minded tak?’ Lepas tu hantar gambar tak senonoh kepada saya. Saya terkejut macam kena siram air sejuk. Dalam kepala saya cuma fikir, ‘Ustaz… soalan tu bukan dalam silibus agama’,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman kedua, kali ini melibatkan seorang lelaki bergelar Datuk.
“Setiap hari mesej manja. Kemudian makin naik level jadi mesej pelik dan lucah, siap emoji yang saya sendiri tak pernah guna,” kongsinya.
Fitri berkata beliau akhirnya mengambil keputusan untuk menyekat nombor individu berkenaan tanpa berfikir panjang.
“Saya pensyarah, bukan operator hotline percintaan jam 12 malam,” katanya sinis.
Baca juga:
- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
- Roy Azman anggap filem Konspirasi pengalaman bermakna
- Filem Konspirasi didakwa henti tayangan, Sarimah Ibrahim luah rasa kecewa
Tidak terkejut dengan tangkapan melibatkan individu berjawatan
Mengulas mengenai serbuan yang mengaitkan lebih 100 lelaki dalam aktiviti tidak bermoral, Fitri berkata perkara itu tidak mengejutkan lagi.
“Saya langsung tak hairan kalau yang kena tangkap pun ada yang berjawatan, berpangkat atau berpengalaman manja-manja,” katanya.
Fitri menegaskan bahawa perbuatan sedemikian jelas diharamkan dalam Islam, dan beliau mengecam keras golongan yang terlibat.
“Saya benci gila puak-puak macam ni. Benci sebab ia berlaku depan mata saya dalam bentuk gangguan peribadi. Benci sebab ia disokong oleh orang yang masyarakat anggap ‘mulia’. Benci sebab ia merosakkan nilai, maruah dan akhlak,” katanya.
Fitri berharap serbuan baru-baru ini membuka mata masyarakat.
“Benda salah tetap salah, walaupun pakai tuala mahal,” tegasnya.








