'Saya mohon maaf, tiada sebarang agenda' - Pengasas KK Mart perjelas isu stoking kalimah Allah - The Reporter

‘Saya mohon maaf, tiada sebarang agenda’ – Pengasas KK Mart perjelas isu stoking kalimah Allah

‘Saya mohon maaf, tiada sebarang agenda’ – Pengasas KK Mart perjelas isu stoking kalimah Allah

Pihak KK Mart menjelaskan penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah Allah adalah produk konsainan oleh pihak vendor.

Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

Katanya, pemeriksaan terhadap 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis ada stoking terbabit dan 14 pasang tertera kalimah ALLAH. Susulan itu juga pihak mereka telah membuat laporan dan surat penjelasan kepada pihak berwajib.

Pengerusi Eksekutif KK Supermart, Datuk Seri Dr KK Chai | Foto SYADILA AMARI – Malaysia Gazette

“Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi pada Khamis bagi membantu siasatan serta memberi kerjasama kepada pihak berwajib.

“Selain itu, surat penjelasan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah disediakan.

“Pihak syarikat tidak mempunyai sebarang agenda untuk mengganggu ketenteraman awam seperti yang diperkatakan oleh komuniti, maka saya dengan rendah diri memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam,” katanya.

Vendor mohon maaf

Pemilik Syarikat Xin Jian Chang, Soh Chin Huat selaku pembekal | Foto SYADILA AMARI – Malaysia Gazette

Pemilik syarikat vendor, Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat dalam masa sama tampil memohon maaf kerana tidak membuat pemeriksaan rapi terhadap produk tersebut sebelum mengedarkan di rangkaian runcit terbabit.

“Stoking ini saya import dari China dan mengandungi 1,200 pasang bagi setiap guni bersama dengan beberapa pilihan corak berbeza, jadi saya terlepas pandang serta tidak membuat pemeriksaan keseluruhan terhadap setiap barangan.

“Setelah kejadian ini berlaku memang membuka mata saya untuk lebih berhati-hati membawa masuk produk dari luar negara dan saya mohon maaf berhubung perkara ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!