Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pengusaha gerai Nasi Lemak dan Nasi Kandar ‘Non Halal’, Suresh G, menafikan dakwaan yang menyatakan perniagaan yang dilakukannya telah mengelirukan ramai pihak.
Tegasnya, dia merupakan peniaga yang secara jelas berniaga di kedai non halal tambahan pula katanya kedai sebegini sudah banyak dibuka di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
“Saya tak kelirukan sesiapa, saya memang berniaga di kedai ‘non halal’. Ini sudah minggu ketiga saya berniaga. Semalam baru perasan perkara ini tular termasuk ada artikel yang keluar.
“Dulu ada restoran tapi dah tutup, itu yang ambil keputusan buka gerai dan menyewa di kedai Cina.
“Memandangkan ini adalah kedai ‘non halal’, itu sebab saya jual lauk ‘non halal’ iaitu daging babi. Bukan nak susahkan hati sesiapa pun,” katanya.
Menu istimewa sejak tiga minggu lalu
Ujarnya, nasi kandar atau nasi lemak lauk daging babi yang dijual adalah makanan istimewa. Selain ia adalah jenama perniagaannya yang diusahakan sejak tiga minggu lalu.
“Saya hanya nak cari makan saja. Saya jual makanan ini memang di kedai Cina dan bukan di kawasan perumahan. Jadi, pelanggan pun memang bukan Islam.
“Menu ini adalah jenama saya dari awal gerai ini dibuka. Saya tak terfikir nak berhenti. Lagi pula, ia adalah ‘speciality’ di sini sebab idea dan ‘branding’ memang macam tu,” ujarnya.
Suresh juga memaklumkan, dia telah memuat naik hantaran di media sosial yang ditulis dengan perkataan ‘non halal’. Selain memaparkan logo perniagaan yang secara jelas menunjukkan gambar haiwan tersebut.
“Kalau mengikuti saya di Instagram dan Facebook, memang tertera perkataan ‘non halal’. Malah, setiap hantaran dimuat naik pun tulis huruf besar ‘non halal’. Kiranya memang kita maklumkan dan bagi jelas.
“Logo perniagaan pun dah tunjuk gambar binatang tu. Jadi takkan ada orang yang keliru. Saya daftar pun di bawah jenis perniagaan ‘non halal’.
“Jadi, saya berasa memang tak buat salah. Bukan nak menghina atau memalukan mana-mana pihak. Tak ada niat nak sentuh mana-mana sensitiviti dan menyinggung perasaan pihak lain. Tidak sama sekali.
“Saya bukan orang pertama buat, dah banyak di kawasan KL dan PJ. Nasi lemak daging babi misalnya bukan baru. Saya pun hairan, saya yang pertama kali buat, tapi kena kecam. Semalam siap ada hubungi dan cakap nak datang jumpa,” katanya.
Buat cara sendiri lauk kari campur
Dia berkata, pemahamannya mengenai nasi kandar ialah berlaukkan kari campur.
“Jadi saya buat kari campur cara sendiri dan ada pilihan lauk termasuk daging babi. Pelanggan saya memang bukan Islam saja,” katanya.
Susulan itu juga, dia bersedia untuk berjumpa dengan mana-mana persatuan berkenaan termasuk pihak kementerian.
Sumber: Harian Metro