'Saya datang sebagai tetamu, menyanyi rela hati tanpa bayaran' | The Reporter

‘Saya datang sebagai tetamu, menyanyi rela hati tanpa bayaran’

Siti Nurhaliza perjelas isu sambuat Aidilfitri KKM
Gambar: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Penyanyi dan usahawan terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menjelaskan keadaan sebenar mengenai kemunculan beliau semasa sambutan Aidilfitri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi hantaran di Instagram, beliau memaklumkan kunjungan beliau ke majlis berkenaan merupakan sebagai jemputan dan bukan artis yang membuat persembahan.

Ujarnya lagi, beliau menyampaikan nyanyian pada majlis tersebut dengan rela hati dan tanpa bayaran kerana mahu menghargai warga KKM.

“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan. Saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” katanya.

Dalam hantaran itu juga, beliau meminta agar isu ini tidak dipanjangkan.

“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya semalam.

“Seperti mana penjelasan saya,saya tidak minta apa-apa bayaran. Saya rasa penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama atau gambar saya dengan sesuatu yang tidak sahih beritanya,” katanya.

Terdahulu, kritikan terhadap majlis Aidilfitri KKM yang diadakan pada Selasa tercetus susulan kehadiran artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah.

Ruangan komen di Facebook Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dihujani pelbagai reaksi netizen, antaranya mempersoalkan kewajaran penganjuran majlis berskala besar dalam keadaan warga kerja KKM masih berdepan kekangan fasiliti dan beban tugas harian.

Related Posts