Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ibu bapa mana yang tidak sedih apabila melihat anak yang dulu aktif dan petah bercakap kini terlantar bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan sejak tragedi lemas di sebuah kolam inap desa. Keadaan ini menimpa Che Umar Rais Che Fairollah, seorang kanak-kanak berusia empat tahun, yang kini terlantar sakit sejak lebih 120 hari lalu.
Tragedi berlaku ketika Umar bercuti bersama ibunya, Nurul Izzati Barni, 30, di sebuah inap desa di Alor Setar.
“Umar terjatuh dalam kolam mandi dan lemas. Saya terjun menyelamatkannya dan beri bantuan pernafasan awal sebelum membawanya ke hospital,” kata Nurul Izzati, memetik laporan Harian Metro.
Doktor memaklumkan nadi Umar terhenti seketika sebelum dia kembali bernafas selepas empat minit kemudian dengan izin Allah SWT. Umar dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) selama 19 hari sebelum dipindahkan ke wad separa kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar. Sehingga kini, dia masih dirawat di hospital.
Nurul Izzati, yang kini tidak bekerja, menjaga Umar setiap hari di hospital.
“Sebagai ibu, saya bisik di telinganya supaya terus kuat. Ada satu masa, air matanya berlinang dan tangannya menggenggam erat tangan saya. Itu memberi saya harapan,” katanya.
Suaminya, Che Fairollah Che Mezam, yang merupakan anggota polis, juga memberi sokongan moral walaupun sibuk dengan tugas. Ketika ini, Che Fairollah sedang mengerjakan umrah dengan niat mendoakan kesembuhan Umar di hadapan Kaabah.
Nurul Izzati turut berkongsi keadaan Umar di TikTok untuk memohon doa daripada orang ramai.
“Ada juga yang sudi menyumbang. Doktor kata, jika Umar sedar semula, keadaannya mungkin tak sama seperti kanak-kanak lain. Namun, saya hanya berharap dapat melihat dia buka mata dan senyum semula,” katanya penuh harapan.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 152095967027 atas nama Nurul Izzati Barni.
Sumber: Harian Metro








