Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Gara-gara mesej secara langsung (DM) yang dihantar penyanyi Kaka Azraff kepada pelakon Australia, Nethaniel Buzzolic mengenai kekejaman zionis, dia ditamatkan kontraknya di bawah Warner Music Malaysia (WMM).
Namun pelantun suara lagu Gila itu tidak terkilan sebaliknya menuntut agar WMM memperhalusi alasan penamatan kontrak itu yang masih berbaki beberapa tahun.
Kaka memaklumkan dia menerima notis penamatan kontrak terbabit pada 1 Disember lalu tapi sebab-sebabnya tidak dinyatakan dengan jelas.
“Sebagai seorang artis rakamannya dan antara paling lama di WMM, saya percaya, paling kurang, saya seharusnya diberikan sebab rasmi yang menjelaskan mengapa pihak pengurusan memutuskan untuk menamatkan kontrak saya.
“Saya tidaklah terkilan apabila kontrak saya ditamatkan, kerana saya percaya rezeki Allah itu luas, tapi saya terkilan ia ditamatkan sedemikian rupa, secara tiba-tiba, tanpa menyatakan sebab dengan jelas atau ruang perbincangan walaupun notis diberikan adalah selama 30 hari,” katanya.
Kaka turut mengulas mengenai penularan mesej DM terbabit yang disifatkannya diputar-belit untuk tatapan umum.
Akui emosi gagal dikawal
Dia akui emosinya gagal dikawal kerana kemarahan terhadap kekejaman Israel.
“Sebagai ibu, wanita dan saudara seIslam, saya tak dapat kawal kemarahan. Saya memang akui patut boleh sampaikan kata-kata dengan lebih baik tapi tak menyesal pun kerana ia sudah terjadi.
“Tak sangka pula pihak yang menularkan itu putar belit DM yang bersifat peribadi. Apapun, saya terharu sokongan yang diberikan sekarang cukup positif. Saya takkan berdiam diri dan akan terus bersolidariti mengenai Palestin.
“Saya lihat dari sudut yang positif sebab saya tahu bersama di pihak yang benar. Baru beberapa hari jadi nampak positif sahaja.
“Saya tak nak lihat dari sudut negatif sebab apa yang saya buat adalah untuk saudara kita di sana (Palestin).
“Jadi kalau mendatangkan kesusahan sikit, saya anggap ini jihad kecil daripada saya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Metro