Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita mencadangkan pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan satu sistem pembayaran di kantin sekolah bagi memudahkan urusan harian pelajar.
Dalam satu hantaran yang disiarkan di Facebook, Nur Hafizah M Sobri menekankan keperluan untuk beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai (cashless) bagi mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelajar dan ibu bapa.
“Boleh tak kantin sekolah upgrade sistem pembayaran? Sekarang semua nak cashless, dari Touch n Go ke e-Wallet. Mak bapak takde dah duit fizikal nak bagi dekat anak-anak. Satu hal nak kena cari duit tukar pada malam-malam buta bila terlupa duit cash dah habis untuk belanja anak-anak esok.
“Dari duk pening nak memeningkan lagi sillabus yang sudah sedia pening, meh upgrade tang ni dulu. Tak tau nak buat macam mana? Meh cik cadangkan,” katanya.
Cadangan Sistem Pembayaran Tanpa Tunai
Nur Hafizah mencadangkan tiga kaedah utama untuk meningkatkan sistem pembayaran di kantin sekolah:
- Sistem Kredit Menggunakan Kad Pelajar: Menggunakan kad ala Touch ‘n Go, ibu bapa boleh menambah nilai secara dalam talian. Pelajar hanya perlu mengimbas kad mereka di kantin untuk membuat pembayaran.
- Sistem Dalam Talian Pelajar: Ibu bapa boleh menambah nilai ke dalam sistem dalam talian setiap bulan. Pelajar hanya perlu memberikan nama mereka di kaunter kantin untuk membuat pembayaran.
- Pembayaran Bulanan: Kantin menyediakan menu bulanan dan ibu bapa membayar secara bulanan. Makanan akan disediakan untuk pelajar tanpa mengira kehadiran mereka di sekolah.
Kelebihan Sistem Pembayaran Tanpa Tunai
Menurut Nur Hafizah, sistem pembayaran tanpa tunai dapat menyelesaikan beberapa masalah utama seperti kehilangan duit oleh pelajar, kes kecurian, caj berlebihan, pembaziran duit untuk makanan tidak sihat dan masalah pelajar tidak cukup makan kerana kekurangan duit.
Justeru, Nur Hafizah berharap pihak sekolah atau KPM dapat mempertimbangkan cadangannya untuk memudahkan urusan harian pelajar dan ibu bapa.