Sasterawan Rejab Ismail meninggal dunia | The Reporter

Sasterawan Rejab Ismail meninggal dunia

Rejab Ismail meninggal dunia pada usia 84 tahun.
Rejab Ismail.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dunia kesusasteraan tanah air kehilangan seorang tokoh besar apabila pengarang prolifik, Rejab bin Ismail, atau lebih dikenali dengan nama pena Rejab F.I., dilaporkan telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham yang lahir pada tahun 1941 di Perlis meninggalkan legasi besar dalam bidang penulisan yang akan terus dikenang sepanjang zaman.

Berita kematian Rejab dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook Dewan Sastera.

Memetik Dewan Sastera, dalam perjalanan kepengarangannya yang panjang, Allahyarham telah menghasilkan lebih 135 judul buku, termasuk 45 buah novel (kanak-kanak, remaja dan dewasa), 23 antologi cerpen, serta empat kumpulan puisi. Selain itu, beliau turut menulis 15 skrip drama televisyen, 20 skrip drama radio dan empat skrip drama pentas. Tidak kurang daripada 200 cerpen dan lebih 400 puisi beliau pernah tersiar dalam pelbagai penerbitan tempatan.

Baca juga:

Antara karya penting Allahyarham ialah kumpulan cerpen Papervine yang menghimpunkan 24 cerpen terbaik beliau. Buku berkenaan juga telah diterbitkan semula pada tahun ini dalam siri Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award, sekali gus menegaskan nilai karya beliau yang terus relevan merentas generasi.

Allahyarham bukan sahaja seorang penulis yang prolifik, malah seorang sasterawan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau merupakan penerima SEA Write Award (Malaysia) 2016 serta pernah memenangi pelbagai anugerah berprestij, antaranya Hadiah Sastera Nasional (1971 dan 1972), Hadiah Sastera Esso-GAPENA (1985), dan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1994, 1995, 1996, 1997, dan 1999).

Beberapa karya beliau turut dipilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) dan Kesusasteraan Melayu, antaranya novel Sejambak Bakti yang dijadikan teks KOMSAS Tingkatan Satu di Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Johor. Tidak terhenti di tanah air, beberapa karya beliau turut diterjemahkan ke dalam bahasa lain termasuk Rusia, Mandarin dan Inggeris.

Pemergian Rejab F.I. merupakan satu kehilangan besar buat dunia kesusasteraan Melayu. Sumbangan dan karya beliau akan terus menjadi rujukan serta sumber inspirasi kepada generasi penulis dan pembaca pada masa hadapan.

Pelakon Zulkifli Ismail turut berkongsi perkhabaran pemergian Allahyarham melalui hantaran di media sosial.

Related Posts