Sanusi dakwa kartel tukar bungkusan beras | The Reporter

Sanusi dakwa kartel tukar bungkusan beras

Kartel beras tempatan
Sanusi

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wujudnya kartel yang menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import, menyebabkan bekalan beras tempatan semakin sukar diperoleh di pasaran.

Beliau berkata, kegiatan ini bukan sahaja memberi keuntungan besar kepada pihak tertentu tetapi turut menjejaskan petani dan rakyat yang bergantung kepada beras tempatan pada harga lebih rendah.

“Ada kartel yang mengawal benih, harga belian padi dan penjualan beras. Mereka menipu petani tetapi apabila saya dedahkan, mereka marah dan kata saya tak betul.

“Takkan kerajaan tak tahu geng kartel ini tukar bungkusan beras tempatan kepada beras import? Orang kampung pun tahu. Mereka tukar bungkusan, harga RM23 boleh dijual RM43. Kalau tak percaya, sila periksa,” katanya.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, isu ini akan berterusan selagi kerajaan negeri tidak diberi kuasa penuh untuk menguruskan industri padi dan beras.

“Mereka persoalkan Menteri Besar buat apa kalau beras hilang sedangkan padi ditanam di Kedah. Tapi masalahnya, kuasa mengurus beras bukan di tangan kerajaan negeri.

“Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang ditubuhkan pada 1970 mengawal kawasan tanaman padi, dan pelbagai agensi lain pula mengawal industri padi termasuk lesen beli, simpan dan jual beras. Semua ini di bawah kementerian,” katanya.

Sanusi mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap kartel yang didakwanya memonopoli industri padi dan beras, serta memastikan hak petani tidak terus terabai.

Sumber: Sinar Harian, Free Malaysia Today

Related Posts