Sanggup berbelanja sehingga RM20k, pelajar Malaysia di Mesir kumpul hampir 200 kitab turath ulama alam Melayu | The Reporter

Sanggup berbelanja sehingga RM20k, pelajar Malaysia di Mesir kumpul hampir 200 kitab turath ulama alam Melayu

Sumber Gambar: Bernama

Kerana minat yang mendalam, seorang pelajar Malaysia tahun akhir pengajian Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Mesir sanggup membelanjakan hampir RM20,000 wang simpananannya untuk mendapatkan 200 kitab turath atau kita tradisi ilmu Islam karangan ulama alam Melayu.

Kitab-kitab yang berjaya dikumpul sekitar tahun 1920-an hingga 1960-an. Dia terdorong mengumpul kitab-kitab lama berkenaan kerana ia mempunyai nilai sejarah dengan cetakan asli di Mesir serta lebih dipercayai sebagai rujukan.

Sumber Gambar: Bernama

Menerusi satu laporan, Muhammad Nur Hadi Sallehuddin mula mengumpul khazanah berharga tersebut bermula awal 2020 yang kebanyakannya dicetak Mustafa al-Halabi, antara syarikat percetakan dan penjualan buku tertua di negara Timur Tengah itu.

Sukar diperolehi

Menurut Muhammad Nur Hadi, kitab-kitab berkenaan sebahagian besar ditulis dalam tulisan Jawi dan Aceh. Kitab-kitab berkenaan katanya sukar diperolehi dan mengandungi pelbagai disiplin ilmu Islam antaranya sejarah, tafsir, tajwid, fiqah, tasawuf, hadis, akidah dan kamus Arab-Jawi.

Sumber Gambar: Bernama

Antara koleksi dalam simpanan pemuda ini ialah Kamus Idris Al-Marbawi nukilan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pertama Dr Syeikh Idris al-Marbawi, Doa Hari Arafah karya ulama Kelantan Syeikh Jaafar Husein selain kitab ditulis ulama dari Indonesia dan Pattani.

“Semasa awal datang ke Mesir saya memang tidak tahu keberadaan kitab ini, sehinggalah kawan di Malaysia memaklumkannya. Pada permulaan saya sekadar membeli 25 buku sahaja, lama-kelamaan timbul rasa tanggungjawab dalam diri saya untuk mencari dan mengumpulkannya,” katanya.

Muhammad Nur Hadi ketika sedang mencari ‘tinggalan’ kitab lama asli Nusantara di gudang buku, Mustafa al-Halabi, iaitu antara syarikat percetakan dan penjualan buku tertua di negara Timur Tengah itu. Sumber Gambar: Bernama

Pelajar yang berasal dari Taiping, Perak ini turut berkongsikan turut mengumpul dokumen persuratan dan cop besi yang diukir tulisan Jawi-Arab.

“Antara penemuan menarik lain ialah saya melihat bukti bertulis sumbangan besar Syeikh Idris yang menjadi editor kepada kitab tulisan ulama lain sebelum ia dicetak untuk diterbitkan,” katanya.

Pertemuan dengan peniaga buku Arab

Apa yang membuatkan Muhammad Nur Hadi makin teruja apabila dia berjumpa dengan seorang peniaga buku Arab di Mesir yang dikenali sebagai Ammu Abdul Maula. Pertemuannya dengan peniaga tersebut telah memudahkannya mengumpul kitab dengan lebih banyak.

“Ammu yang berusia 70-an adalah pekerja di Mustafa al-Halabi lebih 50 tahun dan arif berkenaan dengan simpanan kitab turath yang dicetak syarikat itu. Saya telah berjumpa dia berulang kali bagi mencari kitab turath alam Melayu.

“Sampailah satu ketika apabila dia melihat kesungguhan saya dan yakin yang saya dapat menyimpan kitab tersebut untuk generasi akan datang, dia membawa saya masuk ke gudang buku dan menunjukkan kitab turath alam Melayu yang masih ada. Dari situlah saya mendapatkan kebanyakan tajuk yang sudah tiada lebihan naskah,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut merancang untuk membawa kesemua koleksi tersebut ke tanah air. Dia turut menyatakan kesudiannya berkongsi dengan mana-mana pihak yang berminat seperti pengkaji sejarah, ahli akademik dan universiti.

Sumber: Bernama

Related Posts