Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa siasatan tetap akan dijalankan terhadap mana-mana pihak yang didapati memaparkan imej Jalur Gemilang tidak lengkap, tanpa sebarang pengecualian — termasuk agensi kerajaan sendiri.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Anwar menekankan bahawa prinsip keadilan dan rasa hormat terhadap simbol negara perlu ditegakkan oleh semua pihak, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, walaupun insiden terbaharu melibatkan buku Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan, siasatan tetap dilaksanakan seperti mana-mana kes lain yang pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, kementerian itu sedang menjalankan siasatan dalaman, dan Perdana Menteri mahu semua pihak menunjukkan kepekaan yang tinggi terhadap elemen kebangsaan, terutamanya dalam bahan rasmi yang sampai kepada jutaan pelajar dan ibu bapa di seluruh negara.
Insiden melibatkan Jalur Gemilang tidak lengkap bukanlah kali pertama berlaku. Sebelum ini, perkara sama membabitkan akhbar tempatan dan sebuah syarikat antarabangsa dalam satu pameran di Kuala Lumpur. Dalam kes terkini, bendera yang dipaparkan dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Walaupun penggunaan AI semakin meluas dan dialu-alukan, Anwar mengingatkan bahawa tanggungjawab manusia dalam proses semakan dan kawalan mutu tidak boleh diabaikan. Teknologi tidak boleh menjadi alasan kepada kecuaian yang menyentuh maruah dan simbol negara.
Tambah kenyataan itu lagi, semua bahan yang melibatkan simbol kebangsaan perlu melalui tapisan dan semakan rapi supaya tidak menimbulkan salah faham atau ketidakpekaan terhadap identiti negara.








