'Rupanya ini tahun terakhir Mama dengan adik' – Pelajar Tingkatan 1 maut dirempuh kereta | The Reporter

‘Rupanya ini tahun terakhir Mama dengan adik’ – Pelajar Tingkatan 1 maut dirempuh kereta

Pelajar tingkatan satu maut dirempuh kereta

Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun maut selepas dirempuh kereta ketika melintas jalan di Jalan Kampung Gesir Tengah, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim memaklumkan, laporan kejadian diterima sekitar jam 7.40 pagi.

Mangsa tiba-tiba melintas

Kemalangan tersebut melibatkan sebuah Toyota Vios yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia 65 tahun, manakala mangsa merupakan pelajar sekolah menengah yang hendak menuju ke sekolah.

Menurut siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila pelajar itu secara tiba-tiba melintas dari arah sebelah kiri jalan, menyebabkan pemandu kereta tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

Selepas kejadian, bapa mangsa berusaha membawa anaknya ke klinik berdekatan menggunakan kenderaan persendirian. Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan ambulans di hadapan Dewan Serba Guna Selisik, namun mangsa disahkan meninggal dunia di situ.

Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat. Kereta yang terlibat dalam kemalangan itu turut ditahan bagi siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Anak berdiri di tepi jalan sebelum dilanggar

Sementara itu, ibu mangsa, Emyliea Tarmidi, berkongsi luahan kesedihannya di media sosial atas pemergian anaknya. Emyliea meluahkan kenangan manis bersama arwah, mengimbas saat-saat terakhir sebelum anaknya meninggal dunia.

“Mama tak ada banyak gambar dengan adik. Tahun ini kami beraya bersama-sama di Gesir, dan ternyata itu adalah tahun terakhir mama dengan adik. Sehari sebelum pergi, adik sempat baring atas paha mama,” katanya.

Emyliea turut mendedahkan beberapa butiran kejadian, di mana anaknya berdiri di tepi jalan sebelum dilanggar oleh kereta yang dipandu laju, di kawasan garisan kuning dan bonggol.

“Kami belum menerima sebarang kata maaf dari pihak yang terlibat, malah keretanya berhenti di tempat jauh,” ujarnya dengan penuh kesedihan, sambil berharap agar ada saksi tampil membantu memberikan keadilan kepada anaknya.

Sumber: Kosmo, Emyliea

Related Posts