Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Hartanah kediaman berharga RM300,000 hingga RM500,000 mencatatkan jumlah unit tidak terjual tertinggi pada suku ketiga 2024, menurut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC). Sebanyak 7,003 unit dalam kategori ini bernilai keseluruhan RM2.78 bilion, atau 31.9% daripada jumlah keseluruhan hartanah tidak terjual.
Secara keseluruhan, terdapat 21,968 unit kediaman tidak terjual bernilai RM13.85 bilion pada suku ini. Kategori lain yang mencatatkan jumlah besar termasuk hartanah berharga RM500,000 hingga RM1 juta dengan 6,462 unit, serta hartanah di bawah RM300,000 yang merekodkan 5,999 unit tidak terjual.
Kediaman bertingkat dominasi pasaran tidak terjual
Rumah jenis bertingkat menyumbang kepada 61.2% daripada keseluruhan kediaman tidak terjual dengan 13,455 unit. Hartanah teres pula mencatatkan 5,187 unit tidak terjual, diikuti oleh jenis lain sebanyak 3,326 unit. Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kediaman tidak terjual tertinggi dengan 3,273 unit, diikuti Perak dan Johor.
Hartanah berusia lima hingga 10 tahun mendominasi kategori ini dengan 10,774 unit tidak terjual, manakala kediaman di bawah tiga tahun mencatatkan 5,498 unit. Dalam kategori hartanah yang sedang dibangunkan, unit di bawah RM300,000 kekal paling banyak tidak terjual.
Masalah pasaran
Walaupun laporan NAPIC menunjukkan jumlah keseluruhan kediaman siap tidak terjual menurun sedikit kepada 21,968 unit berbanding 22,642 unit pada suku sebelumnya, masalah ini terus memberi tekanan kepada pasaran hartanah. Apartmen servis dalam julat harga RM500,000 hingga RM1 juta kekal dominan dalam kategori tidak terjual dengan 20,158 unit.
Isu ini juga menimbulkan persoalan kepada pembeli, terutama golongan berpendapatan sederhana, sama ada harga rumah yang semakin meningkat ini benar-benar mampu dimiliki. Dengan keadaan ini, adakah rumah yang dibina sebenarnya memenuhi keperluan rakyat Malaysia?
Sumber: Buletin TV3