RTM nafi Azlan Johar direhatkan sebagai pengulas kerana sertai PAS | The Reporter

RTM nafi Azlan Johar direhatkan sebagai pengulas kerana sertai PAS

KP RTM nafi dakwaan PAS
KP RTM, Ashwad Ismail

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menafikan dakwaan bahawa bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar, direhatkan daripada tugas sebagai pengulas siaran Piala Dunia 2026 susulan penyertaannya dalam PAS baru-baru ini.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas memandangkan Azlan masih diberikan ruang untuk muncul dalam siaran rasmi RTM sepanjang temasya bola sepak dunia itu berlangsung.

Menurutnya, Azlan tampil sebagai pengulas bagi perlawanan antara Brazil dan Maghribi yang disiarkan RTM semalam, walaupun penyertaannya dalam PAS diumumkan oleh parti itu pada 13 Jun lalu.

“Pengumuman Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 13 Jun lalu menyatakan Azlan menyertai PAS, namun semalam beliau muncul mengulas perlawanan Brazil menentang Maghribi.

“RTM sendiri yang menjemput Azlan menjadi pengulas bagi perlawanan tersebut,” katanya.

Ashwad turut menjelaskan bahawa Azlan tidak terikat dengan sebarang kontrak tetap untuk mengulas kesemua 104 perlawanan Piala Dunia 2026, justeru RTM mempunyai hak untuk menjemput mana-mana individu sebagai pengulas jemputan sepanjang kejohanan berlangsung.

“RTM berhak menjemput pengulas jemputan lain sepanjang kejohanan berlangsung. Ia juga hak individu lain untuk tampil sebagai pengulas jemputan bagi edisi Piala Dunia kali ini,” katanya.

Baca juga:

Terdahulu, PAS mempersoalkan tindakan yang didakwa dikenakan terhadap bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar, yang direhatkan daripada tugas sebagai pengulas sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi siaran Piala Dunia 2026.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berasa dukacita menerima perkhabaran tersebut dan mahu penjelasan sama ada tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan penyertaan Azlan ke dalam PAS yang diumumkan di Seremban pada 13 Jun lalu.

Related Posts