PAS mempersoalkan tindakan yang didakwa dikenakan terhadap bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar, yang direhatkan daripada tugas sebagai pengulas sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi siaran Piala Dunia 2026.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berasa dukacita menerima perkhabaran tersebut dan mahu penjelasan sama ada tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan penyertaan Azlan ke dalam PAS yang diumumkan di Seremban pada 13 Jun lalu.
Menurut beliau, semua pihak berkaitan termasuk kerajaan Malaysia menghormati menghormati dan tidak merampas hak asasi seseorang warganegara, termasuk hak untuk berpersatuan dan berpolitik seperti dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.
“PAS berharap semua pihak yang berkaitan, termasuk Kerajaan Malaysia dan agensi-agensi di bawahnya, menghormati serta tidak merampas hak asasi seseorang warganegara, termasuk hak untuk berpersatuan dan berpolitik,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Baca juga:
- Pengeluaran tunai ATM tanpa Caj RM1 bermula 1 Julai
- RTM nafi Azlan Johar direhatkan sebagai pengulas kerana sertai PAS
- PAS persoal dakwaan Azlan Johar direhatkan sebagai pengulas RTM
Takiyuddin berkata, sebarang penafian hak terhadap individu seperti Azlan bukan sahaja merugikan negara, malah mengecewakan peminat sukan tanah air memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas sebagai pengulas dan penganalisis sukan yang terlibat dalam lebih 10 kejohanan Piala Dunia sepanjang karier penyiarannya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Azlan bukan sahaja dikenali sebagai bekas penyerang prolifik pasukan negeri dan kebangsaan sekitar era 1980-an, malah memiliki lesen kejurulatihan bola sepak tahap tinggi serta kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Lagenda.
Sehubungan itu, PAS menggesa kerajaan memastikan perkara seumpama itu tidak berlaku dan tidak terus diamalkan, selaras dengan semangat reformasi hak asasi rakyat serta institusi negara yang sering dilaungkan oleh parti-parti yang menerajui pentadbiran kerajaan.









