Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Rosyam Nor sahkan video gaduh pasar raya hanyalah gimik
• Tujuannya promosikan pakej umrah melalui kerjasama dengan Ikhlas.com
• 102 individu akan ditaja menunaikan umrah menerusi kempen ini
Semakin banyak kandungan ‘drama’ direka demi marketing dan baru-baru ini tular video pergaduhan suami isteri di ST Rosyam Mart rupa-rupanya hanya satu gimik promosi pakej umrah.
Video ‘pergaduhan’ tersebut memperlihatkan seorang lelaki mencampak barang dari troli dan menengking wanita dipercayai isterinya, sebelum menterbalikkan troli itu di hadapan orang awam. Ramai yang menyangka ia insiden sebenar, namun kini semuanya terjawab.
Datuk Rosyam Nor yang juga pemilik pasar raya tersebut menjelaskan, video itu merupakan strategi pemasaran hasil kolaborasi bersama Ikhlas.com bagi menarik perhatian masyarakat menjelang pelancaran Promo Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah hujung bulan ini.
Menurut Rosyam, pendekatan ini digunakan untuk ‘trigger’ emosi netizen dalam era digital yang sarat dengan kandungan viral.
“Semua orang sekarang nak jadi wartawan sendiri. Jadi kita sampaikan risalah baik melalui cara yang boleh trigger orang dengan apa yang berlaku,” katanya memetik laporan dari Malaysia Gazette.
Rosyam juga menegaskan kempen ini bukan semata-mata bertujuan untuk keuntungan, sebaliknya ia bertujuan menzahirkan kerjasama positif antara pihaknya dan Ikhlas.com, serta membuka ruang dakwah dengan pendekatan lebih kontemporari.
Mengapa gimik gaduh di pasar raya dipilih?
Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin menjelaskan, ‘pergaduhan’ yang tular itu adalah simbolik kepada cabaran menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha yang akhirnya membawa mesej positif mengenai semangat berkorban dan ibadah umrah.
“Teladan yang ingin disampaikan adalah tentang korban dan juga tawaran umrah pada harga lebih baik. Ini cara dakwah pilihan yang kami ambil,” ujarnya.
Mengapa strategi viral digunakan untuk promosi umrah?
Strategi ‘gimik gaduh’ ini digunakan untuk mencuri perhatian di media sosial yang pantas menular isu sensasi. Dengan mencetus emosi netizen, ia berjaya menarik trafik sebelum disusuli mesej sebenar mengenai ibadah dan tawaran kebaikan.








