'Saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan' - PM | The Reporter

‘Saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan’ – PM

Anwar Ibrahim tegaskan tiada rombakan besar Kabinet, hanya pengisian kekosongan Menteri sebelum penggal tamat.
Anwar jelaskan rombakan besar Kabinet tidak perlu, hanya kekosongan Menteri akan diisi bagi tempoh akhir pentadbiran. | Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bercadang melakukan rombakan Kabinet besar-besaran, sebaliknya hanya mahu mengisi beberapa kekosongan jawatan Menteri.

Katanya, langkah itu lebih wajar kerana pentadbiran kerajaan perpaduan kini berbaki kira-kira satu setengah tahun sebelum penggal berakhir.

“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Mungkin rombakan itu kalau ada masa panjang, tapi Kabinet ini hanya akan berfungsi satu setengah tahun saja.

“Jadi saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan,” katanya selepas melancarkan model kenderaan elektrik pertama PERODUA, QV-E, di Rawang semalam.

Baca juga:

Tiga portfolio kini tanpa Menteri — Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi — selepas Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Ewon Benedick meletak jawatan antara Mei hingga November lalu.

Selain itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menamatkan tempoh pelantikannya sebagai Senator hari ini, menjadikan satu lagi kekosongan baharu yang perlu diisi.

Penggal singkat, rombakan minimal

Anwar menegaskan, tumpuan utama kerajaan kini ialah memastikan dasar sedia ada berjalan lancar menjelang akhir penggal, bukan menukar struktur Kabinet secara besar-besaran.

Beberapa Menteri lain turut bakal menamatkan penggal pertama sebagai Senator, termasuk Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sumber: Harian Metro

Related Posts