Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun membuat pendedahan mengejutkan ketika mendapatkan rawatan sakit gastrik di Hospital Tanjong Karang, apabila memaklumkan dirinya menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral oleh bapa kandung sendiri.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak hospital pada jam 5.07 petang, Isnin lalu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati remaja terbabit hadir ke hospital sekitar jam 6 petang pada hari sama kerana mengadu sakit perut disebabkan masalah gastrik.
“Namun hasil temubual awal doktor terhadap remaja berkenaan membawa kepada pendedahan mengejutkan apabila dia memaklumkan pernah menjadi mangsa perlakuan tidak bermoral oleh bapanya sendiri yang berusia 51 tahun,” katanya.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Susulan laporan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menahan suspek di kawasan Bestari Jaya pada jam 10.15 malam hari yang sama.
Difahamkan, lelaki berkenaan bekerja sebagai tukang urut dan masih berstatus suami orang. Dia kini direman selama tujuh hari bermula Rabu hingga 5 Ogos bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kesalahan sumbang mahram.
Sumber: Sinar Harian








