Remaja lelaki diliwat tukang gunting rambut, disahkan HIV positif | The Reporter

Remaja lelaki diliwat tukang gunting rambut, disahkan HIV positif

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Sesyen Tawau semalam menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah atas pertuduhan meliwat seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pada bulan Mac yang lalu.

Tertuduh, Meruan Daud, 49, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Menurut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun di kedai gunting rambut miliknya di Kampung Mentadak Baru Sungai Tamang, Pulau Sebatik, pada kira-kira jam 12 tengah hari, 11 Mac yang lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suryana, dalam hujahannya berkata, tertuduh telah mengambil kesempatan dengan meliwat mangsa sejak usia 13 tahun hingga berusia 16 tahun dan kini disahkan menghidap HIV positif.

Fakta kes menunjukkan, tertuduh mengenali mangsa kerana mereka tinggal di kampung yang sama. Tertuduh melakukan perbuatan keji ini berulang satu kali dalam seminggu dan kali terakhir pada 13 Mac yang lalu.

Perbuatan tertuduh ini terbongkar apabila mangsa dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau dan disahkan positif HIV setelah ujian saringan di Klinik Kesihatan Kubota. Mangsa kemudiannya mengakui melakukan hubungan sejenis dengan tertuduh.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya, 2 April 2024. Selain itu, tertuduh juga dikehendaki menjalani khidmat kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Sumber: Harian Metro

Related Posts