Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan membakar anak kucing di sebuah flat di Hulu Langat pada bulan April lalu.
Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz telah mengarahkan tertuduh menghadiri bengkel interaktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama ibunya selama setahun.
Selain itu, tertuduh juga dilarang keluar rumah antara pukul 10 malam hingga 6 pagi selama setahun.
Tertuduh didakwa bersama dua lelaki lain yang masih bebas, yang secara kejam menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakarnya di parkir flat di Hulu Langat pada jam 1:08 tengah hari, pada 22 April lalu.
Tertuduh minta bela seekor kucing
Peguam Lee Teong Hooi yang mewakili tertuduh berkata, penasihat mahkamah telah menasihati tertuduh memberi tumpuan kepada pelajaran, menjadi orang yang lebih baik dan menjaga ibunya.
Selain itu, tertuduh sendiri telah mendaftar ke sekolah dan akan memulakan sesi pembelajaran tahun hadapan di Tingkatan Dua. Keluarga tertuduh turut bersetuju dengan syor diberi bantuan oleh JKM tanpa mengemukakan sebarang rayuan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim pula memohon hukuman dikenakan terhadap tertuduh bersifat pengajaran untuk kepentingan awam dan tertuduh.
Sementara itu, ibu saudara tertuduh yang ditemui berkata, anak saudaranya sudah banyak berubah dan kini menyayangi kucing. Bahkan, tertuduh meminta untuk membela seekor kucing sebagai tanda menebus kesalahannya.
April lalu tular video dua lelaki menyimbah bahan bakar ke atas seekor anak kucing yang berusia enam minggu, manakala seorang lagi menyalakan api.
Sumber: Berita Harian








