Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tidur pun sempat buat siaran langsung. 10 video sehari, 6 kali ‘live’. Bila senyap tiga hari, makcik-makcik Facebook mula risau. Begitulah rutin luar biasa yang dilalui usahawan dan pempengaruh media sosial, Prince Syed, dan isterinya, Fatin Syazwani Ishak.
Meskipun sering dilabel ‘gila glamor’ kerana kerap mempamerkan kemesraan dan kemewahan, pasangan ini sebenarnya bergantung pada media sosial sebagai sumber utama pendapatan.
“Kami bukan kejar glamor, ini lubuk rezeki,” katanya jujur.
Hidup 24 jam depan kamera

Prince Syed atau nama sebenarnya Syed Muhammad, 33, mendedahkan dia dan isteri boleh memuat naik sehingga 10 video sehari, malah pernah bersiaran langsung enam kali dalam sehari.
“Ada masa tak boleh tidur pun kami buat live,” katanya sambil menyatakan kebanyakan video bersifat spontan sambil makan pun sempat rakam.
Tambahnya, media sosial bukan sekadar tempat berkongsi gaya hidup, tetapi platform penting untuk menjual produk dan membina jenama sendiri.
“Kalau tak kongsi video setiap hari, orang mungkin lupa siapa kita,” jelasnya.
Baca juga:
- (Video) Aisar Khaled kesal dihalau ketika bantu mangsa banjir di Bali
- Khairul Aming terima Anugerah Maulidur Rasul
- Maritim tahan 2 dua bot diguna pempengaruh untuk penggambaran di laut
Tekanan tak nampak di skrin

Di sebalik senyuman dan gelak tawa di TikTok atau Facebook, Prince Syed mengakui pernah terpaksa berehat tiga hari kerana diserang anxiety dan migrain. Namun, waktu ‘hilang’ seketika itulah pengikut mula bertanya.
“Ramai yang komen tanya mana video baru, terutama makcik-makcik Facebook yang nak tahu sampai jenama gincu apa isteri pakai,” katanya.
Biarpun penat, dia dan isteri cuba kekalkan momentum demi kelangsungan bisnes.
“Tak boleh terlalu selesa sebab ramai lagi orang baru yang muncul hari-hari,” ujarnya.


Peminat atau pembenci?
Ditanya mengenai kecaman dan sindiran yang diterima, Prince Syed hanya tersenyum.
“Pembenci tu saya anggap sebagai peminat yang tertunda,” katanya bersahaja.
Baginya, selagi media sosial boleh dijadikan sumber rezeki dan saluran dakwah kecil untuk memberi inspirasi, dia akan terus berkarya dan berkongsi.
Sumber: Harian Metro