Nama Port Dickson yang sudah sinonim dengan destinasi peranginan utama kini menjadi bahan perbincangan selepas timbul gesaan agar ia ditukar kepada Pantai Dermaga. Polemik itu bukan sahaja menyentuh soal identiti sejarah, tetapi turut menimbulkan kebimbangan mengenai kesan terhadap industri pelancongan dan kos yang bakal ditanggung.
Bagi pihak kerajaan negeri, sebarang perubahan nama dianggap tidak sesuai ketika ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon menjelaskan kepada Harian Metro, Port Dickson sedang mencatatkan peningkatan mendadak dalam carian penginapan di platform digital, malah menjadi lokasi tumpuan menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Menurutnya, menukar nama ketika momentum pelancongan sedang meningkat hanya akan mengelirukan pelawat luar dan menjejaskan strategi promosi. Pandangan sama turut dikongsi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menolak gesaan beberapa NGO untuk meninggalkan nama warisan kolonial.
Baca juga:
- Pelajar UCYP terima sijil penghargaan, bantu lancarkan pergerakan ambulans ke HTAA
- Kerajaan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di- Pertuan Negeri Sembilan
- Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Antara identiti dan realiti
Sebaliknya, badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Pemerkasaan Identiti (IDENTITI), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berpendirian nama baharu wajar dipertimbangkan bagi mengembalikan identiti asal.
Pensyarah kanan UKM, Dr Al-Amril Othman pula berpandangan, hasrat sebahagian pihak mengembalikan nama asal tempat bukanlah perkara asing.
Bagaimanapun katanya, proses itu panjang dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru. Ia juga tidak seharusnya ditafsir sebagai cubaan memadam sejarah, sebaliknya usaha untuk menegaskan kembali akar identiti tempatan.








