Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jun lalu, pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel oleh kerajaan mencetuskan tanggapan negatif dalam kalangan rakyat, yang mendakwa langkah tersebut sebagai punca utama peningkatan kos barangan dalam sektor pembuatan, meskipun kerajaan menegaskan bahawa terdapat faktor lain yang lebih signifikan menyumbang kepada situasi itu.
Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel yang bermula Jun lalu bukanlah punca utama peningkatan kos barangan dalam sektor pembuatan, yang seterusnya menyebabkan penurunan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada Julai 2024.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, MOF menyatakan penurunan kecil PMI dari 49.9 mata pada Jun 2024 kepada 49.7 mata pada Julai 2024 mungkin disebabkan oleh pelbagai risiko ekonomi.
Faktor-faktor tersebut termasuk permintaan luar yang lemah, pengurangan aktiviti pembelian dan inventori oleh firma, serta gangguan dalam rantaian bekalan.
“Berdasarkan rekod PMI sektor pembuatan Malaysia bagi 2023 dan 2024, rekod pencapaian bulanan PMI sektor pembuatan bagi 2024 boleh dianggap lebih baik dan stabil berbanding 2023,” jelas kementerian itu.
Sebagai perbandingan, bacaan PMI tertinggi bagi sektor pembuatan pada 2024 dicatatkan pada 50.2 mata pada Mei, manakala pada 2023, bacaan tertinggi adalah 48.8 mata yang direkodkan pada Mac dan April.
Bacaan terendah pada 2024 pula adalah 48.4 mata pada Mac, berbanding 46.5 mata pada Januari 2023.
Sumber: Sinar Harian








