Tular di media sosial, seorang usahawan bernama Juliana Mazlan mencuri perhatian netizen ketika melawat mangsa banjir di Kelantan baru-baru ini.
Beliau hadir bersama pasukan sukarelawan ke sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menyampaikan sumbangan dan menyediakan makanan kepada mangsa.
Namun, yang menjadi bualan netizen adalah pemilihan pakaian Juliana.
Dalam rakaman video, beliau dilihat mengenakan jaket berbulu dan membawa beg tangan mewah. Tindakan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang menganggap penampilannya kurang sesuai dengan suasana banjir, malah ada yang berseloroh mengatakan bahawa negara ini belum memasuki musim salji.
Netizen turut memberikan komen sinis seperti, “Terima kasih kak tolong dorang. Tapi sekarang musim hujan kak, belum salji”.
Walaupun begitu, segelintir warganet memuji usahanya membantu mangsa banjir. Bagi mereka, niat baik dan usaha Juliana patut dihargai walaupun penampilannya menarik perhatian ramai.








