Rakan kongsi Facebook akui pihaknya 'guna' mikrofon telefon bimbit pengguna untuk tujuan pengiklanan? - The Reporter

Rakan kongsi Facebook akui pihaknya ‘guna’ mikrofon telefon bimbit pengguna untuk tujuan pengiklanan?

Foto hiasan sahaja

Salah satu rakan kongsi pemasaran Facebook mendakwa pihaknya menggunakan mikrofon telefon pintar pengguna untuk tujuan pengiklanan. Dalam kata mudah, mereka mendengar perbualan pengguna melalui mikrofon telefon pintar dan kemudian menayangkan iklan berdasarkan apa yang disebut oleh pengguna.

Menurut laporan 404 Media berdasarkan dokumen yang didedahkan kepada wartawan, syarikat media TV dan radio, Cox Media Group (CMG), mendakwa perisian ‘Active Listening’ menggunakan kecerdasan buatan untuk mengumpul maklumat di masa nyata dengan mendengar perbualan pengguna.

“Pengiklan boleh menggabungkan data suara ini dengan data tingkah laku untuk menyasarkan pengguna yang berada di pasaran,” dedah CMG.

CMG turut menyenaraikan Facebook, Google dan Amazon sebagai pelanggannya, walaupun tidak dinyatakan sama ada mereka terlibat dalam perkhidmatan ‘Active Listening’ ini.

Setelah 404 Media menghubungi Google untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendedahan CMG, syarikat tersebut terus mengeluarkan CMG dari laman web ‘Program Rakan Kongsi’ mereka.

Sementara itu, jurucakap Meta juga tampil memberikan respons dan menjelaskan CMG adalah rakan kongsi secara umum, bukan rakan kongsi dalam program tersebut.

“Meta tidak menggunakan mikrofon telefon pengguna untuk iklan dan kami telah menegaskan perkara ini secara terbuka selama bertahun-tahun.

“Kami akan menghubungi CMG untuk memastikan bahawa program mereka tidak berdasarkan data Meta,” kata kenyataan tersebut.

Jurucakap Amazon juga tampil memaklumkan bahagian pengiklanannya tidak pernah menjalinkan kerjasama dengan CMG dalam program itu dan tidak merancang untuk berbuat demikian. – Agensi

Total
0
Shares
Total
0
Share
error: Content is protected !!