Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar mengeluarkan warkah menamatkan perkhidmatan Raja Norazli Raja Nordin sebagai Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan berkuat kuasa 17 September 2026.
Warkah yang termaktub di Istana Serting pada Rabu itu dikeluarkan oleh Tuanku Nadzaruddin dengan menggunakan gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.
Menurut warkah berkenaan, penamatan perkhidmatan Raja Norazli dibuat dengan menjalankan kuasa di bawah Perkara 25 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Susulan keputusan itu, Raja Norazli dititahkan supaya serta-merta berhenti menjalankan sebarang fungsi atau tugas serta tidak lagi membuat sebarang representasi rasmi atas nama DKU.
Beliau turut diarahkan menyerahkan kembali semua dokumen rasmi DKU termasuk fail sulit, minit mesyuarat, kod akses pejabat serta segala harta milik badan berkenaan.
Baca juga:
- ‘Najib masih boleh sumbang idea, pandangan dan pengalaman demi negara’ – PAS
- Marhamah Rosli nafi terlibat amalan dukun, New Age
- UMNO lancar tabung bantu Najib lunas denda RM50 juta
Selain itu, Raja Norazli dititahkan mengosongkan Pejabat Setiausaha DKU berkuat kuasa serta-merta.
Warkah berkenaan turut menyatakan penamatan tersebut tidak menjejaskan sebarang hak Tuanku Nadzaruddin mahupun DKU untuk mengambil tindakan yang difikirkan wajar berhubung tindak-tanduk Raja Norazli sepanjang menjalankan kewajipan atau membawa diri sebagai Setiausaha DKU.
Perkembangan itu berlaku ketika wujud pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Pada 17 September, DKU menerusi kenyataan Raja Norazli menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah, manakala kerajaan negeri sedang mengambil langkah berhubung pewartaan proklamasi yang mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin sebagai pengganti.








