'Raikan budaya, jangan sampai ketepikan syariat' - JAKIM | The Reporter

‘Raikan budaya, jangan sampai ketepikan syariat’ – JAKIM

JAKIM ingatkan umat Islam meraikan budaya dan warisan berpandukan syariat
Gambar: Hiasan/AI

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengingatkan umat Islam supaya tidak mengetepikan tuntutan syariat ketika meraikan budaya dan warisan masyarakat, termasuk dalam aspek pemakaian, pergaulan serta hiburan.

Menerusi perkongsian Bahagian Dakwah JAKIM bertajuk ‘Budaya Bersendi Syariah’, masyarakat diseru menghargai budaya Malaysia dan warisan tradisi tanpa mengabaikan batas yang ditetapkan agama.

Menurut perkongsian itu, budaya Melayu sejak dahulu bukan sekadar berkaitan pakaian, tarian, bahasa atau adat resam, sebaliknya turut mencerminkan nilai maruah, adab dan batas dalam kehidupan.

“Dalam kita melangkah membawa budaya, jangan kita terlupa membawa syariat. Dalam kita mengenakan pakaian warisan nenek moyang, jangan kita tinggalkan batas aurat yang diperintahkan Allah,” menurut kenyataan itu.

Umat Islam turut mengingatkan supaya kemeriahan sesuatu acara tidak menyebabkan pergaulan melampaui batas, hiburan melalaikan daripada mengingati Tuhan atau kewajipan agama diketepikan. Umat Islam juga dinasihatkan supaya tidak mengenakan persalinan jantina berlawanan ketika menggayakan busana.

Baca juga:
Syariat bukan mematikan budaya

Pada masa sama, JAKIM menegaskan syariat bukan bertujuan mematikan budaya, sebaliknya menjadi panduan dalam menentukan amalan yang wajar dipelihara, diteruskan atau ditinggalkan sekiranya bercanggah dengan agama.

Perkongsian itu turut mengangkat nilai dalam budaya Melayu seperti budi, malu, maruah, hormat dan kesopanan yang disifatkan dekat dengan akhlak Islam. Masyarakat juga diingatkan agar tidak terlalu mempertahankan bentuk luaran sesuatu budaya sehingga mengabaikan nilai dan akhlak di sebaliknya.

Katanya, masyarakat boleh meraikan budaya Malaysia, mengenang sejarah, mengangkat warisan, mengenakan pakaian tradisional serta bergembira bersama, namun bagi umat Islam, keredaan Allah perlu kekal menjadi neraca utama.

“Biar budaya kita berwarna, tetapi syariat menjadi neracanya. Biar adat kita subur, tetapi akhlak menjadi bunganya. Biar bangsa kita maju, seiring iman menjadi akarnya,” menurut perkongsian berkenaan.

Related Posts