Puluhan ribu hadir Himpunan Justice for Zara, acara rasmi kerajaan jadi hambar | The Reporter

Puluhan ribu hadir Himpunan Justice for Zara, acara rasmi kerajaan jadi hambar

Lautan manusia berhimpun pada waktu malam di Kota Kinabalu membawa plakad dan kain rentang bertulis Justice for Zara, sebahagian besar berpakaian hitam sambil menyalakan lampu telefon.
Puluhan ribu rakyat Sabah berhimpun dalam Himpunan Justice for Zara di Kota Kinabalu. | Kredit gambar: Facebook Mohd Rafi Alli Hassan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Petang semalam, Kota Kinabalu menjadi saksi kepada pertembungan tiga acara besar yang berlangsung serentak: sambutan Hari Kebangsaan, sambutan Hari Sabah, dan himpunan Justice for Zara 2.0. Kehadiran puluhan ribu orang menyebabkan bandar raya itu hampir lumpuh, dengan trafik di pusat perniagaan utama sesak berjam-jam.

Dua acara rasmi kerajaan negeri berlangsung di tengah kota, diwarnai dengan perarakan Hari Kebangsaan dan majlis Hari Sabah di Padang Merdeka. Namun, suasana tidak sehangat tahun-tahun sebelumnya. Di sebalik kehadiran Yang di-Pertua Negeri Musa Aman, Ketua Menteri Hajiji Noor serta barisan pemimpin negeri, sambutan rasmi hanya mendapat perhatian sederhana.

Solidariti rakyat jadi tumpuan

Sebaliknya, kira-kira 4 kilometer dari situ, Kompleks Sukan Likas bertukar menjadi lautan manusia. Puluhan ribu rakyat Sabah, kebanyakannya belia dan keluarga, membanjiri kawasan itu bagi menyatakan solidariti menuntut keadilan buat Zara Qairina, pelajar SMKA Tun Datu Mustapha yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan pada Julai lalu.

Baca juga:

Perhimpunan itu bukan sahaja jauh lebih besar daripada acara rasmi, malah turut mendapat gema di bandar-bandar lain seperti Lahad Datu, Sandakan dan Tawau. Slogan “Tiada keadilan, tiada Merdeka” yang tular di media sosial memberi isyarat jelas bahawa isu Zara telah merentas batas peribadi menjadi gerakan akar umbi.

“Perhimpunan ini bukan soal jumlah orang semata-mata, tetapi mesejnya. Ia menyerlahkan kegagalan sistem,” kata seorang peserta, Ahmad Syukri, 29. Hashtag #JusticeForZara terus menjadi trending, memaparkan luahan marah, sedih dan tuntutan reformasi daripada rakyat.

Ucapan pemimpin di bawah bayangan Zara

Walaupun Hajiji Noor dalam ucapannya menegaskan kejayaan pelan pembangunan lima tahun Sabah Maju Jaya (SMJ) dan pelaburan lebih RM1.3 bilion dalam pendidikan serta belia, momentum politik tersebut jelas tertutup dengan gema solidariti rakyat di Likas.

Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan pula mengingatkan bahaya perpecahan, menyeru agar rakyat Sabah bersatu demi masa depan negeri. Namun, mesej perpaduan itu seakan tenggelam dalam naratif baharu rakyat yang mengaitkan “kemerdekaan” dengan keadilan untuk seorang remaja.

Sumber: MalaysiaKini

Related Posts