Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Tabiat mengambil kucing jalanan dengan niat ingin membela sering dilihat sebagai tindakan mulia, kerana ramai beranggapan mereka menyelamatkan kucing tersebut daripada kehidupan yang sukar di jalanan.
Namun, ramai yang tidak sedar bahawa perbuatan ini boleh memberi kesan mendalam kepada ibu kucing, terutamanya jika anak-anaknya masih kecil dan memerlukan penjagaan.
Ibu kucing yang kehilangan anak-anaknya akibat diambil manusia boleh mengalami tekanan dan keresahan, kerana naluri semula jadinya untuk melindungi dan menyusukan anak-anak terganggu.
Ibu kucing mencari anaknya
Seorang TikToker, Chonky, mendedahkan dia terserempak dengan seekor kucing betina yang kehilangan anak-anaknya yang masih kecil, dipercayai ‘diculik’ oleh manusia.
Kali terakhir haiwan itu dilihat bersama anak-anaknya pada 11 Oktober lalu, di Jalan Wangsa Delima 6, Wangsa Maju.
“Minta jasa baik kepada sesiapa yang telah mengambil anak kucing di sebelah Saddam, Wangsa Maju, Jalan Wangsa Delima 6, sila pulangkan.
“Kesian pada ibu kucing yang menunggu anaknya sebab masih menyusu.
“Siapa-siapa yang terambil anak kucing… ini mak kucing ye, yang sedang menunggu anak-anak dia. Pulangkanlah anak-anak dia, kesian mak dia menunggu.
“Anak dia pun ada tompok di bahagian atas kepala,” katanya.
Jangan pisahkan anak kucing yang belum bercerai susu
Adalah tidak wajar memisahkan anak kucing daripada ibunya, terutama jika anak kucing itu masih kecil dan belum bercerai susu. Anak kucing memerlukan perlindungan, penjagaan, dan susu ibu untuk membesar dengan sihat.
Memisahkan mereka dari induknya secara tiba-tiba boleh menjejaskan perkembangan fizikal dan emosinya. Induk kucing juga akan mengalami tekanan apabila kehilangan anak-anaknya. Naluri ibu kucing untuk melindungi dan menjaga anak-anaknya sangat kuat, dan kehilangan mereka secara tiba-tiba boleh menyebabkan kesedihan serta gangguan kepada perilaku semula jadinya.
Jika ada keperluan mendesak untuk mengambil anak kucing, seperti ancaman kepada keselamatan mereka, adalah lebih baik mengambil induknya sekali atau memastikan anak-anak kucing itu sudah berdikari dan tidak lagi bergantung kepada susu ibu.