Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Lima penghantar makanan yang terlibat dalam kejadian memukul dan mengikat seorang pemandu kereta di Taman Pelangi Semenyih didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas pertuduhan membunuh.
Tertuduh tersebut adalah Mohd. Yuree Ranoff Mohd. Bachuri, 41, Azharul Azuan Mohd. Azan 34, Tengku Izham Tengku Hamid, 22, Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi kerana kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama telah membunuh Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pukul 9.54 malam pada 20 Februari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam Mohammad Hafiz.
Tiada ikat jamin diberikan terhadap kelima-lima tertuduh. Mahkamah kemudian menetapkan 25 April ini bagi sebutan laporan forensik, bedah siasat dan laporan kimia.
Sumber: Sinar Harian