Seorang lelaki berusia 42 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dibelasah sekumpulan individu yang berang dengan mangsa yang didakwa melarikan diri, setelah terbabit dalam kemalangan dengan seorang penghantar makanan di Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan, pihaknya ada menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 9.20 malam Selasa di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang.
Kereta mangsa terbabas
Siasatan awal mendapati, pemandu kereta Proton Saga berkenaan disyaki terbabas setelah melanggar pagar di kawasan perumahan tersebut.
Kemalangan itu turut melibatkan seorang penghantar makanan dan suspek telah melarikan diri, membuatkan dia dikejar oleh orang awam.
Ditarik keluar, diikat
Dari keterangan saksi, mangsa telah ditarik keluar dari kenderaan sebelum kedua-dua belah tangannya diikat dan dipukul oleh sekumpulan individu yang kemudian terus beredar dari lokasi sebaik sahaja menyedari kehadiran kereta peronda polis.
Tidak beberapa lama kemudian, ambulans tiba dan memeriksa keadaan mangsa. Malangnya mangsa disahkan sudah tidak bernyawa.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.
5 suspek ditahan
Pasukan Forensik Bukit Aman juga telah mengambil beberapa sampel swabbing darah termasuk kesan cap jari, dua utas gumpalan tali warna hijau dan coklat di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 52 tahun dan direman selama lima hari untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Astro Awani, Malaysia Gazette