Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki ditahan selepas bertindak memukul, mencekik dan menolak isterinya ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Dalam kejadian Sabtu lalu itu, mangsa dikatakan telah dibawa oleh suaminya menaiki kenderaan dari tempat kerja di Kuala Lumpur dan menuju ke Perak dengan alasan mahu pulang ke kampung.
Bagaimanapun, sepanjang perjalanan, telah berlaku pertengkaran mulut sehingga suspek memberhentikan kereta lalu bertindak mencekik leher dan mengugut mahu membunuh mangsa dengan pisau.
Mangsa dalam ketakutan keluar dari kereta, tetapi berjaya dihalang suspek dan berlaku sekali lagi pertengkaran mulut yang membawa kepada pergelutan di tepi jalan.
Suspek kemudiannya menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung.
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood, mangsa berusia 32 tahun dijumpai orang awam dalam keadaan berseorangan di tepi jalan sekitar jam 2 petang.
Mangsa dikatakan berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak naik dari gaung ke bahu jalan.
“Mangsa yang mengalami kesan calar, luka dan lebam pada tubuh badan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
Sumber: Sinar Harian








