Ramai penduduk kata bantuan tak cukup, Proton sumbang RM250,000 & pemeriksaan kereta percuma | The Reporter

Ramai penduduk kata bantuan tak cukup, Proton sumbang RM250,000 & pemeriksaan kereta percuma

Keadaan perumahan di Putra Heights yang terjejas selepas kebakaran paip gas
Kawasan perumahan di Putra Heights yang terkesan dalam insiden kebakaran baru-baru ini | Foto: Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ramai penduduk terjejas dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights meluahkan rasa kecewa kerana bantuan sedia ada masih belum mencukupi. Menyedari perkara itu, Proton Holdings Bhd tampil menghulurkan sumbangan sebanyak RM250,000 bagi meringankan beban mangsa.

Sumbangan ini bertujuan membantu mereka yang kehilangan tempat tinggal dan kini berlindung di pusat pemindahan sementara seperti Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia milik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Ramai yang kata bantuan kewangan yang diterima masih tidak cukup. Jadi kami harap sumbangan ini boleh bantu sedikit sebanyak, khususnya untuk keperluan segera,” kata Proton dalam satu kenyataan.

Bukan sekadar bantuan kewangan, Proton turut menawarkan pemeriksaan percuma dan menyeluruh terhadap kenderaan jenama Proton yang terjejas dalam insiden tersebut.

Enam pusat servis Proton di sekitar kawasan terbabit telah dikenal pasti untuk tujuan ini. Pemilik kereta yang terkesan akan dibantu dalam proses tuntutan insurans, sama ada kenderaan mereka masih berada di lokasi kejadian atau sudah dipindahkan.

“Proton komited untuk bantu pemilik kenderaan agar proses pembaikan dan pemulihan berjalan lancar,” kata syarikat itu lagi.

Mangsa yang perlukan bantuan boleh hubungi khidmat pelanggan Proton 24 jam di 1-800-88-8398 atau WhatsApp ke 012-219 5426.

Related Posts