PRESMA sedia ambil pekerja Rohingya jika dibenarkan kerajaan | The Reporter

PRESMA sedia ambil pekerja Rohingya jika dibenarkan kerajaan

Pekerja Rohingya
Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menyatakan kesediaan untuk mengambil etnik Rohingya sebagai pekerja di restoran mamak jika kerajaan membenarkan dan golongan itu memiliki dokumen sah.

Presiden PRESMA, Datuk Jawahir Ali Taib Khan, berkata masalah kekurangan pekerja dalam sektor restoran semakin meruncing kerana iklan pengambilan pekerja tempatan yang disiarkan melalui Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak mendapat sambutan.

“Kami faham bahawa ketika ini belum ada dasar yang jelas mengenai pengambilan etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR sebagai pekerja. Tetapi jika kerajaan membenarkan, kami tiada masalah mengambil mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, pihaknya telah berusaha mencari pekerja tempatan melalui saluran rasmi, namun kurangnya minat menyebabkan banyak restoran kekurangan tenaga kerja. Oleh itu, mereka berharap kerajaan memberi kelonggaran kepada pekerja asing, termasuk masyarakat Rohingya, untuk bekerja secara sah.

“Kami sudah beberapa kali mengadakan temuduga terbuka untuk pekerja tempatan, tetapi sambutannya amat mengecewakan. Jadi, tidak timbul isu kami tidak mahu menggaji rakyat tempatan. Masalah utama adalah faktor kesesuaian dan kesanggupan mereka untuk bekerja dalam industri ini,” tambahnya.

Kerajaan sebelum ini menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai permintaan beberapa persatuan bagi membawa masuk pekerja asing dalam sektor restoran. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Imigresen berhubung perkara itu.

Menurut Jawahir, pekerja tempatan yang tiada pengalaman dalam bidang makanan dan minuman sering menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri. Oleh itu, PRESMA mengalu-alukan sebarang inisiatif daripada pihak berkaitan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor ini.

Sumber: Berita Harian

Related Posts