Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg, dalam satu kenyataan memberikan respon berhubung isu bekalan air yang dikemukakan menerusi surat terbuka oleh seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dalam kenyataan tersebut, beliau merakamkan penghargaan atas makluman tersebut, namun menjelaskan isu berkenaan berada di luar bidang kuasa beliau sebagai Premier Negeri Sarawak.
Bagaimanapun, beliau memberikan jaminan isu tersebut akan dibawa kepada perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini tular satu surat terbuka yang dikemukakan oleh pelajar Tahun Dua di UMS memaklumkan mengenai masalah bekalan air yang berpanjangan di university berkenaan.

Pelajar berkenaan yang berasal dari negeri Sarawak memohon perhatian Premier Sarawak untuk menyelesaikan isu tersebut yang didakwa semakin berulang sejak sekian lama.
“Gangguan bekalan air tersebut kerap berlaku beberapa minggu dan ada kalanya berlanjutan selama beberapa hari, sekaligus menjejaskan urusan harian serta tahap kebersihan persekitaran kami.
“Saya dengan penuh rasa hormat, memohon agar YAB Datuk Patinggi Tan Sri dapat mempertimbangkan untuk memberi perhatian terhadap permasalahan ini serta menyampaikan suara mahasiswa Sarawak,” katanya.








