Prabowo gugurkan Purbaya, lantik Suahasil sebagai Menteri Kewangan baharu | The Reporter

Prabowo gugurkan Purbaya, lantik Suahasil sebagai Menteri Kewangan baharu

Prabowo Subianto melantik Suahasil Nazara sebagai Menteri Kewangan Indonesia menggantikan Purbaya Yudhi Sadewa.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersama Menteri Kewangan baharu, Suahasil Nazara selepas upacara pelantikan di Istana Negara, Jakarta. Gambar: medcom.id

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menggugurkan Purbaya Yudhi Sadewa sebagai Menteri Kewangan dalam rombakan Kabinet Merah Putih terbaharu, selepas kira-kira setahun memegang jawatan itu.

Tempat Purbaya kini diambil alih timbalannya, Suahasil Nazara yang secara rasmi dilantik sebagai Menteri Kewangan baharu dalam satu istiadat di Istana Negara, Jakarta pada Isnin.

Keputusan berkenaan ditandatangani Prabowo pada 14 September sebelum beliau sendiri memimpin upacara mengangkat sumpah Suahasil.

Pelantikan itu menjadikan Suahasil individu ketiga menerajui Kementerian Kewangan sejak Prabowo mengambil alih tampuk pemerintahan Indonesia pada Oktober 2024.

Purbaya sebelum ini dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 8 September 2025 bagi menggantikan Sri Mulyani Indrawati.

Reuters melaporkan pertukaran tersebut berlaku ketika pentadbiran Prabowo berdepan usaha memulihkan keyakinan pelabur susulan kebimbangan mengenai dasar kerajaan dan perbelanjaan fiskal.

Sepanjang tempoh Purbaya menerajui kementerian itu, Indonesia berdepan beberapa cabaran ekonomi termasuk penyusutan nilai rupiah dan peningkatan defisit fiskal.

Dasarnya menyuntik kecairan ke dalam bank bagi merangsang pertumbuhan turut mencetuskan pergeseran dengan bank pusat. Dua agensi penarafan kredit antarabangsa, Fitch dan Moody’s, turut memberi prospek negatif terhadap kedudukan kredit Indonesia tahun ini.

Baca juga:

Selepas mengangkat sumpah, Suahasil berkata keutamaannya adalah memastikan belanjawan negara kekal kukuh dan mempunyai kredibiliti, selain menyokong program keutamaan kerajaan.

Beliau turut berikrar memastikan defisit fiskal Indonesia kekal di bawah had tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagaimana ditetapkan undang-undang.

Prabowo juga mengarahkan Suahasil menjaga kesihatan dan kredibiliti kewangan negara bagi memastikan kestabilan ekonomi dalam jangka panjang.

Suahasil, 55, bukan nama baharu dalam pentadbiran ekonomi Indonesia apabila berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan sejak 2019, termasuk ketika pentadbiran bekas Presiden Joko Widodo.

Beliau merupakan bekas ahli akademik dan profesor di Universitas Indonesia serta pernah mengetuai Badan Kebijakan Fiskal Kementerian Kewangan dari 2016 hingga 2019.

Sumber: Reuters, ANTARA

Related Posts