Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis sedang menyiasat penganjuran satu perhimpunan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan pada Sabtu lalu, yang melibatkan kibaran Jalur Gemilang oleh ratusan peserta.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, aduan diterima sekitar jam 6 petang daripada anggota yang bertugas di lokasi tersebut.
Anggaran seramai 300 hingga 400 peserta berkumpul sambil membawa kira-kira 200 bendera Jalur Gemilang pelbagai saiz, dan diiringi dengan lagu-lagu patriotik.
Seorang individu dikenali sebagai Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, turut memberi ucapan tanpa pembesar suara.
“Selain Razman, perhimpunan ini juga melibatkan pimpinan Pas negeri, wakil Pas kawasan Teluk Intan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta penduduk setempat,” katanya memetik laporan Sinar Harian, Ahad.
Beliau berkata, pihak penganjur tidak menghantar makluman kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan itu.
“Arahan siasatan (OTI) akan dipohon bagi tindakan lanjut, dan pihak yang terlibat akan dipanggil untuk merakam percakapan,” katanya lagi.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, yang menetapkan setiap penganjur perlu memaklumkan pihak polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum sebarang perhimpunan diadakan.








