Insiden seorang wanita menerjah Sultan Perak pada sambutan Hari Kebangsaan semalam mencetuskan polemik.
Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Hafez Sabri, mempertahankan dirinya selepas dikecam kerana mendakwa suspek berbangsa Cina. Polis kemudiannya mengesahkan suspek adalah wanita Melayu, sebelum Pemuda DAP mendesak siasatan lanjut.
Hafez pertahan tindakan, akui terima maklumat salah
Beberapa minit selepas kejadian, Mohd Hafez yang juga Adun Manjoi memuat naik hantaran mendakwa suspek berbangsa Cina. Namun katanya, dakwaan itu dibuat berdasarkan maklumat awal yang tidak tepat dan sudah diperbetulkan secepat mungkin.
Beliau menegaskan tidak berniat membangkitkan isu perkauman, malah telah membuat laporan polis di Balai Polis Tambun serta memohon maaf kepada rakyat Perak.
Baca juga:
- BERSATU pandang serius kenyataan Presiden PAS
- ‘PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU’ – Hadi Awang
- ‘Rafizi, Nik Nazmi tergugur keahlian PKR’ – Fuziah Salleh
Polis tegaskan suspek wanita Melayu
Tidak lama selepas itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, mengesahkan suspek sebenarnya seorang wanita Melayu berusia 41 tahun yang mempunyai rekod rawatan psikiatri.
Wanita itu kini disiasat kerana cubaan mencederakan Sultan Perak, manakala siasatan berasingan dijalankan terhadap penularan berita palsu di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pemuda DAP mahu Hafez disiasat
Selepas pengesahan polis, Pemuda DAP Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mengecam kenyataan awal Hafez yang disifatkan berunsur fitnah perkauman.
Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang serta menuntut permohonan maaf terbuka daripada beliau. DAPSY turut menyifatkan kenyataan itu bermotif politik kerana sempat menular dan mencetuskan komen berbaur perkauman di media sosial.
Sumber: MalaysiaKini








