Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Keresahan masyarakat setempat terhadap projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Selangor mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar projek berkenaan dibatalkan atau dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai.
Anwar menegaskan, walaupun projek itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, isu yang menyentuh keresahan rakyat tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani secara berhati-hati demi kepentingan awam. Katanya, kerajaan Persekutuan tetap mengambil perhatian terhadap perkara yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Menurut beliau, penggunaan teknologi moden dan terkawal dalam sektor penternakan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meneruskan projek di kawasan yang jelas menimbulkan kebimbangan penduduk setempat. Penerimaan masyarakat dan kesan sosial perlu menjadi asas utama dalam membuat keputusan berkaitan projek berskala besar.
Baca juga:
- Duta Ukraine rayu bantuan kemanusiaan dari Malaysia
- 44 kucing di Rumah Kucing Madad cari keluarga angkat baharu
- ‘Semua saham sudah dilupuskan sejak Julai’ – Azam Baki
Beliau turut memaklumkan bahawa perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan akan dibawa ke peringkat perbincangan lanjut bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk kemungkinan membatalkan projek berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor dilaporkan masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi menggantikan Bukit Tagar sebagai tapak ternakan baharu. Namun, kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk membuka ruang perbincangan dengan semua pihak bagi memastikan pelaksanaan sistem penternakan yang lebih teratur dan tidak mencetuskan polemik berpanjangan.
Isu tersebut turut menarik perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menzahirkan ketidaksetujuan terhadap perancangan melibatkan penternakan babi berskala besar, khususnya jika ia menjejaskan sensitiviti masyarakat dan berorientasikan eksport.
Sumber: Bernama








