PKNS nafi dakwaan tular kononnya Kompleks PKNS akan dirobohkan, buat laporan Polis & SKMM | The Reporter

PKNS nafi dakwaan tular kononnya Kompleks PKNS akan dirobohkan, buat laporan Polis & SKMM

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tular yang menyatakan bangunan PKNS bakal dirobohkan. PKNS menyatakan kekesalan terhadap dakwaan yang tidak berasas itu.

Susulan itu, PKNS akan membuat laporan polis berkaitan penyebaran berita tidak tepat berkenaan.

“Kami juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan penyebaran laporan yang tidak benar sama sekali,” katanya.

Tiada perancangan untuk dirobohkan

Dalam pada itu, PKNS menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk merobohkan kompleks ikonik berkenaan.

“Perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Seksyen 14 ini adalah sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

“Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan membabitkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC di mana dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak membabitkan bangunan Kompleks PKNS.

“Sebaliknya, kawasan ini akan dinaik taraf untuk menyediakan kemudahan lebih baik dan selesa serta memberikan pengalaman lebih memuaskan kepada pengunjung dan komuniti setempat,” katanya.

Bangunan PKNS masih dikekalkan

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata tapak dan bangunan asal kompleks berkenaan dijangka masih dikekalkan dalam pembangunan semula tersebut. Namun begitu, terdapat beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan terhadap reka bentuk dan rekaan.

“Mungkin akan ada penambahan daripada segi facade, supaya nampak lebih moden dan kemudian ia akan ada akses dengan bangunan baharu yang ingin dibangunkan.

“Maksudnya dia ada satu ruang dataran berbumbung macam dekat pusat beli-belah Mid Valley yang memiliki kawasan bercampur antara ruang niaga dan kawasan pejalan kaki yang luas,” katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya konsep berkenaan diterapkan, ia merupakan satu penambahbaikan bagi kawasan tersebut.

Terdahulu, satu hantaran tular menyatakan tiga mercu tanda di Shah Alam bakal dirobohkan. Ketiga-tiga bangunan tersebut melibatkan bangunan PKNS,SACC dan SACC Mall.

Hantaran tersebut mengundang pelbagai tanggapan netizen.

Sumber: Harian Metro, Majoriti, X

Related Posts