Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang petani di Indonesia, Peco, 30, maut selepas ditelan hidup-hidup oleh seekor ular sawa sepanjang 23 kaki di kawasan perladangan kelapa sawit di Luwu Utara, Sulawesi. Kejadian mengerikan itu berlaku semasa mangsa sedang mengutip nira untuk membuat gula merah pada malam Selasa lalu.
Bapa kepada tiga anak itu dipercayai dibelit sehingga mati sebelum ditelan oleh haiwan itu yang mampu meluaskan rahangnya dan menelan tubuh mangsa setinggi 5 kaki 3 inci secara keseluruhan.
Apabila Peco tidak pulang ke rumah, abang iparnya, Wawan, segera keluar mencarinya. Wawan kemudiannya menemui seekor ular sawa dengan perut yang kelihatan buncit, lalu segera memanggil bantuan.
Ketua kampung bersama penduduk setempat bertindak membelah perut ular tersebut dan menemui mayat Peco yang berselaput lendir. Rakaman video kejadian itu yang kini tular menunjukkan detik-detik penduduk mengeluarkan mayat mangsa dari perut ular.
“Kami selalu bergurau yang kami boleh dimakan ular pada waktu malam. Namun, saya tidak menyangka perkara ini boleh berlaku kepada adik ipar saya. Dia sangat berpengalaman di ladang,” kata Wawan.
Ketua Polis Sabbang, Ipda Jusman, mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa telah diserah kepada keluarganya untuk proses pengebumian. – Agensi