Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pesara guru berusia 72 tahun mengalami kerugian RM1.75 juta setelah ditipu oleh sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), kononnya mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian berlaku pada 22 Ogos lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai SKMM.
Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Sarawak.
Mangsa diarah memberi senarai semua akaun bank miliknya dan merahsiakan perkara itu, serta melapor diri kepada ‘pegawai polis’ kononnya dari Bukit Aman, sebanyak dua kali sehari.
Mangsa diminta mengeluarkan kesemua wang simpanannya dan memindahkannya ke dalam empat akaun yang didaftarkan atas nama mangsa sendiri.
Lebih mengejutkan, mangsa diarahkan untuk meninggalkan kad ATM dan nombor PIN dalam sampul surat di kawasan semak bagi memudahkan ‘proses audit’.
Mangsa yang dalam keadaan ketakutan akur dengan setiap arahan tanpa berfikir secara rasional. Selepas menyedari kesemua wangnya hilang, barulah mangsa menyedari dirinya telah ditipu.
Jelas Ramli, sindiket tersebut menggunakan taktik memberi tekanan berterusan untuk menakutkan mangsa dan menghalang mereka daripada mendapatkan nasihat atau mendedahkan perkara tersebut kepada pihak lain. Akibatnya, mangsa terperdaya sehingga mengalami kerugian besar.
Sumber: Harian Metro