Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah sekolah kerajaan mencetuskan kontroversi apabila kehadiran artis jemputan yang membuat persembahan di majlis tersebut mengundang rasa kurang senang dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.
Rakaman yang tular di media sosial memaparkan aksi artis wanita menari di pentas, turut disertai oleh pelajar dan pendidik, sambil diiringi sorakan kuat dan keterlaluan daripada pelajar. Aksi tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen yang mempersoalkan kewajaran pengisian majlis sedemikian di institusi pendidikan.
Kritikan keras turut diluahkan di media sosial, dengan ramai menyifatkan persembahan tersebut sebagai tidak wajar dan tidak mencerminkan nilai murni sempena sambutan perayaan Islam. Ada juga yang mempersoalkan tahap kawalan pihak sekolah terhadap kandungan program yang dianjurkan.
“Jangan dinormalisasikan budaya yang menghakis sifat malu,” tulis seorang pengguna media sosial, Abu Amru.
Ibu bapa suarakan kebimbangan
Mereka juga menyuarakan kebimbangan bahawa majlis yang sepatutnya menjadi ruang santai untuk mengeratkan silaturrahim warga sekolah, kini dilihat menyimpang daripada tujuan asal.
Penampilan artis wanita berkenaan turut menjadi tumpuan, apabila ia dikritik sebagai tidak menepati etika pemakaian sopan yang seharusnya dipatuhi dalam persekitaran sekolah.
Susulan itu, para ibu bapa menggesa pihak pentadbiran sekolah agar lebih sensitif dalam merancang program melibatkan pelajar, selain menekankan keperluan mendidik pelajar tentang batas kesopanan serta adab ketika bergembira.
Setakat ini, pihak sekolah masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.








