Perodua tawarkan kereta pengganti sementara kepada Nagakanni, nafi tak ambil tindakan - The Reporter

Perodua tawarkan kereta pengganti sementara kepada Nagakanni, nafi tak ambil tindakan

Perodua Sales Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu kereta Perodua Bezza 1.3 X milik Nagakanni Subramaniam yang rosak selepas lapan jam kereta baharu itu diserahkan kepadanya.

Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales, JH Rozman Jaafar berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan sudah berkomunikasi dengan Nagakanni sejak Oktober 2023.

Sebagai langkah awal, pihaknya telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk menyelesaikan isu tersebut. Ini termasuklah menyediakan kereta pengganti sementara dan menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.

“Perodua juga telah memberi jaminan kepada pelanggan berkenaan untuk mengutamakan kes beliau dan kami juga ingin menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Pada ketika ini, Perodua sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kerosakan kenderaan itu. Dalam kenyataan sama, Perodua memohon maaf di atas kesulitan yang timbul.

Semalam, tular luahan kekecewaan Nagakanni berhubung Perodua Bezza yang baru ‘berusia’ lapan jam itu mengalami kerosakan. Pemeriksaan pihak berkenaan mengesahkan penemuan bendasing (gula) yang menjadi punca kerosakan enjin kenderaan itu.

Nagakanni mendakwa sudah lebih dua bulan dia menunggu tindakan daripada pihak Perodua dan dalam masa sama terpaksa banyak pinjaman bulanan RM537 tetapi kereta itu tidak dapat digunakannya.

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!