Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pemilik kereta Perodua Bezza 1.3 X, Nagakanni Subramaniam, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Perodua kerana kereta yang baru dibeli rosak dalam tempoh 8 jam selepas pembelian. Walaupun sudah lebih dua bulan, masalah tersebut masih belum diselesaikan.
Pada 17 Oktober 2023, Nagakanni membeli Bezza tersebut dari Pusat Jualan Harapan Terang Motor Sdn Bhd Segamat. Namun, 8 jam kemudian, kereta itu tidak dapat dihidupkan dan ditarik ke Pusat Servis Perodua Segamat pada keesokan harinya dan dimaklumkan bahawa enjin kereta rosak.
Nagakanni meminta pihak Perodua mengganti kereta baru pada hari yang sama. Tetapi dia diminta untuk menunggu keputusan dari ibu pejabat Perodua yang memerlukan masa dua minggu hingga sebulan.
9 November 2023, Nagakanni dihubungi oleh pihak ibu pejabat Perodua yang memaklumkan enjin kereta rosak kerana terdapat bendasing seperti gula ditemui dalam enjin tersebut. Nagakanni bagaimanapun menegaskan bahawa dia tidak membawa sebarang makanan atau gula dalam tempoh lapan jam tersebut.
Seminggu kemudian, pegawai yang sama memberitahu Nagakanni perlu membuat pinjaman baru untuk kereta baru. Tetapi Nagakanni menolak, kerana pinjaman lama masih belum diselesaikan.
4 Disember 2023, seorang jurujual dari Pusat Jualan Harapan Terang, meminta dokumen daripadanya untuk membuat pinjaman kedua. Dan Nagakanni menolak untuk menyerahkan dokumen yang diminta atas alasan yang sama.
8 Disember 2023, Nagakanni dimaklumkan oleh Customer Service proposal akhir belum dipersetujui dan Perodua sedang menyiasat kesilapan dalaman dan belum dapat memberi kata putus untuk menukarkan kereta baharu untuknya.
Sehingga semalam, Nagakanni masih belum menerima sebarang jawapan rasmi daripada Perodua walaupun sudah lebih dua bulan masalah itu berlarutan.
“…dah lebih dua bulan, tapi saya masih kena bayar loan RM537 setiap bulan. Saya harap kawan-kawan Facebook dapat share posting ini supaya Perodua dapat selesaikan isu ini. Saya hanya lawan untuk mempertahankan hak saya,” katanya.