Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan bahawa, kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd mengandungi unsur ajaran sesat, terutamanya yang berkaitan dengan batiniah.
Keputusan itu sekali gus menjadikan Perlis sebagai negeri pertama yang mengisytiharkan organisasi ini sebagai kumpulan ajaran sesat.
Keputusan fatwa ini berdasarkan bukti yang meyakinkan yang diterima oleh jawatankuasa. Unsur ajaran batiniah dalam GISB Holdings Sdn Bhd dianggap sebagai kesinambungan dari ajaran al-Arqam yang sebelumnya telah difatwakan sebagai sesat.
Pengkultusan pemimpin atau tokoh agama dalam organisasi ini, hingga melampaui batasan dan menyerupai kedudukan Nabi SAW, juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan penilaian ini.
Organisasi ini juga didapati mengambil keberkatan secara berlebihan dari sisa tubuh pemimpin mereka dan mengaitkannya dengan elemen-elemen yang tidak wajar.
Model ekonomi yang diamalkan oleh GISB Holdings Sdn Bhd juga dianggap bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam sebenar kerana ia mempunyai unsur penindasan dan penghambaan terhadap mereka yang terbabit, serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.
Jawatankuasa menggalakkan masyarakat Islam membantu pemulihan bekas ahli organisasi ini dengan menggunakan peruntukan zakat dan bantuan pendidikan yang betul.
Sekolah yang mengajar manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah juga diminta untuk membantu pendidikan anak-anak bekas ahli GISB Holdings Sdn Bhd.
Sumber: Harian Metro