Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Suhaimi Sulaiman dalam satu kenyataan menjelaskan perlawanan badminton perseorangan lelaki peringkat kumpulan antara atlet Israel dan Nepal disiarkan secara tidak sengaja dalam tempoh kurang daripada lima minit di Saluran Olimpik 4 RTMKlik pada malam Rabu lepas.
Bagaimanapun katanya, RTM telah mengambil tindakan segera dengan menukar siaran ke acara lain iaitu bola baling.
“RTM menyiarkan secara langsung Sukan Olimpik melalui Saluran TV Okey dan Saluran Sukan serta enam saluran khas di RTMKlik.
“Ini bagi memenuhi hasrat rakyat Malaysia yang mahu merasai kehangatan Sukan Olimpik lebih dekat bermula 27 Julai lepas hingga 12 Ogos,” katanya.
Terdahulu, ada individu yang meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila RTM tidak menyiarkan aksi Zii Jia menentang atlet dari Sepanyol, Pablo Abian, tetapi sebaliknya menyiarkan perlawanan antara atlet Israel Misa Zilberman melawan atlet Nepal Prince Dahal.
Susulan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah meminta RTM memberi penjelasan berhubung dakwaan itu.
Untuk rekod, RTM merupakan penyiar rasmi temasya sukan berprestij Olimpik Paris selama 17 hari tanpa henti secara percuma.
Sumber: Astro Awani