Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Satu kemalangan tragis berlaku pagi Sabtu di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur, apabila sebuah lori yang berada dalam kawasan pembinaan tiba-tiba bergerak secara mengundur, mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut dan seorang pemandu kereta cedera.
Video insiden yang tular di media sosial menunjukkan lori berkenaan bergerak mengundur secara tiba-tiba, menyebabkan penunggang motosikal terjatuh ketika cuba mengelak. Lori tersebut turut melanggar sebuah kereta di laluan bersebelahan.
View on Threads
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 8.34 pagi.
Kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal Modenas Kriss, lori, dan kereta Honda Jazz.
“Pemandu lori iaitu lelaki berusia 32 tahun berada di dalam kawasan tapak pembinaan bersama lori dipandunya untuk mengisi minyak brek.
“Ketika proses mengisi minyak brek, tiba-tiba lori mengundur dengan sendiri, lalu melanggar pagar pintu keselamatan dan masuk ke jalan utama serta melanggar motosikal ditunggang lelaki berusia 32 tahun.
“Mangsa terjatuh dan terperosok di tayar belakang sebelah kanan lori itu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Lori tersebut turut melanggar sebuah kereta di laluan bersebelahan, menyebabkan pemandunya mengalami luka di bahagian dahi.
Susulan kejadian, pemandu lori berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.
Sumber: Harian Metro